Jumaat, 6 Julai 2012

Inginkan kamu menjadi salah seorang Muslimah Sejati...?


Muslimah sejati bukanlah dilihat dari wajahnya yang manis dan menawan,
Tetapi pada kasih sayangnya sesama saudara dan insan sekelilingnya.
Pantang baginya membuka aurat dan mempamerkan kepada bukan mahramnya.
Dia sentiasa menguatkan iltizam dalam berghadul bashar,
Dan menjaga kemuliaan diri, keluarga serta agamanya.


Muslimah sejati bukanlah dilihat daripada suaranya yang lembut dan mempersona,
Tetapi daripada lembut dan ketegasan tutur kata dalam menghunus kebenaran.
Dia yang sentiasa menjaga lisan daripada ghibah dan namimah.
Pantang baginya membuka aib saudaranya walau dipaksa.
Dia faham bahawa Allah sentiasa melihat segala perbuatan dan percakapannya.


Muslimah sejati bukanlah dilihat daripada liuk gemalainya ketika dia berjalan,
Tetapi daripada sikap bijaknya untuk memahami keadaan dan menjawab persoalan umat.
Dia sentiasa bersikap telus dalam membina persahabatan dengan siapa sekalipun.
Dia sentiasa merasa cukup dengan segala kepunyaannya, juga nafkah suami untuknya.
Tak pernah menuntut apa-apa yang diluar kemampuan sang suami tercinta.
Sabar adalah aura yang terpancar di wajahnya yang suci.
Sifat tawadhuk adalah pakaian yang sentiasa menjadi pelindung dirinya.


Muslimah sejati bukanlah dilihat daripada bagaimana penghormatannya kepada insan terdekat dengannya.
Tetapi dia menghormati dan menyayangi siapapun dan dimana sahaja tanpa memandang status kedudukan.
Dia yang dilihat pasti akan menyejukkan mata dan meredupkan api kemarahan.
Baiti jannati adalah impiannya dalam mengharungi kehidupan rumahtangga.
Sepenuh hati dalam menyokong perjuangan dakwah si soleh bergelar suami dengan penuh cinta.
Dalam usaha melahirkan generasi rabbani pendukung agama yang mulia.


Muslimah sejati bukanlah dilihat daripada ramainya ikhwan yang memuji dan menaruh harapan padanya.
Tetapi dilihat pada kesungguhannya berbakti dan mencintai Allah dan kekasih agung, Rasulullah.
Dia yang selalu menghindari sesuatu yang syubhah, apatah lagi yang diharamkan untuknya.
Muslimah terbaik ini tidak dilihat daripada betapa pandainya dia merayu dan berapa banyak dia menangis,
Tetapi dia dihormati kerana ketabahannya yang kuat dalam menghadapi liku-liku kehidupan.
Setiap butir bicaranya ada pancaran kasih sayang yang tersembunyi.
Ehsannya berada di segenap tempat. Ketika di khalayak mahupun kala sendirian.


Muslimah sejati bukanlah dilihat pada merdu suaranya ketika bertilawah dan banyaknya hadis yang dihafal.
Tetapi dia dicintai kerana keteguhannya dan betapa dia istiqamah mengamalkan ilmu yang ada.
Dia sentiasa berusaha mengajarkan segala ilmunya kepada yang ingin belajar.
Al-Quran dan As-Sunah adalah warisan peninggalan yang dijaga rapi sebaiknya.


Muslimah sejati bukanlah dilihat daripada tingginya gelaran yang dia miliki serta luasnya wawasannya,
Tapi dia dilihat pada ketinggian ghairahnya untuk menuntut ilmu dan mengamalkan syariat dengan seimbang.
Ilmu yang bermanfaat adalah pegangan hidupnya dan dibawa hingga ke alam kubur.


Menjadi muslimah sejati nescaya akan membuat dirimu dicemburui oleh para bidadari syurga.
Dirimu yang solehah akan menjadi igauan bagi setiap insan yang berjiwa Rabbani.
Dirimu juga pasti menjadi taruhan bagi para pemilik roh dakwah dan jihad yang hebat.
Dirimu juga akan diinginkan oleh mereka yang tidak lalai dengan sinar gemerlap duniawi.


Inginkan kamu menjadi salah seorang Muslimah Sejati...?
Insha Allah, kamu pasti akan menjadi salah seorang mawar perindu syurga. :)


Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan